Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra serta menyerahkan sumbangan kepada penerima, Azhar Mohammad pada program Edaran Beg Makanan TS Cares Siri-3 di Gugusan Cempaka Seksyen 6, Kota Damansara pada 4 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
SELANGOR

Penduduk Gugusan Cempaka terharu MB datang ke rumah

PETALING JAYA, 4 JULAI: Penduduk Pangsapuri Gugusan Cempaka di sini terharu dengan kesudian Dato’ Menteri Besar hadir ke rumah mereka.

Azhar Mohammad, 46, tidak menyangka pemimpin tertinggi negeri itu sanggup turun padang dan melawatnya.

“Hari ini saya diberitahu sebuah badan bukan kerajaan akan menyerahkan bantuan tetapi tak sangka pula sebaliknya Datuk Seri Amirudin Shari yang datang.

“Terima kasih kerana sudi datang menziarahi saya yang sedang sakit dan kunjungannya sedikit sebanyak menggembirakan kami,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau yang menghidap penyakit kencing manis sudahpun menjalani pembedahan membuang sebahagian kaki kanannya pada tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra serta menyerahkan sumbangan kepada penerima, Selvi pada program Edaran Beg Makanan TS Cares Siri-3 di Gugusan Cempaka Seksyen 6, Kota Damansara pada 4 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Kehadiran Amirudin turut mengejutkan seorang tukang cuci, Selvi, 47, yang gembira kerana bantuan diserahkan beliau sendiri kepadanya sekeluarga.

“Dato’ Menteri Besar masuk ke rumah saya seperti orang biasa sahaja, terima kasih sudi datang dan melihat kesusahan kami. Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya dan suami tidak dapat bekerja, emak saya pula sakit tetapi bersyukur keranan Kerajaan Negeri tidak melupakan kami,” katanya.

Kedua-dua individu berkenaan antara dikunjungi Amirudin ketika Program Team Selangor Cares, hari ini.

Beliau turut menyerahkan bantuan bekalan makanan dan barang dapur kepada keluarga memerlukan di pangsapuri berkenaan.


Pengarang :