Muhammad Azriq Iskandar Azhar, 18. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
SELANGOR

Remaja korban impian sambung belajar jaga bapa sakit

PETALING JAYA, 4 JULAI: Seorang remaja sanggup mengorbankan impiannya untuk menyambung pelajaran demi menjaga bapanya yang menderita sakit kencing manis dan tiada sebelah kaki.

“Hasrat itu terpaksa dipendam sementara waktu kerana hanya saya yang boleh mengangkat bapa ke kerusi roda dan membawanya menjalani rawatan ke pusat dialisis. Biar saya tangguhkan dulu supaya bapa kembali sihat.

“Adik saya juga sedang belajar iaitu seorang akan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia manakala satu lagi berusia 11 tahun,” kata Muhammad Azriq Iskandar Azhar, 18, yang bercita-cita menyambung pengajian dalam jurusan elektrik.

Azhar Mohammad, 46. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Bapanya, Azhar Mohammad, 46, tidak dapat menjalani kehidupan seperti biasa kerana sebahagian kaki kanannya dipotong dan mereka sekeluarga menetap di Pangsapuri Gugusan Cempaka bergantung hidup dengan bantuan Lembaga Zakat Selangor dan pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) saban bulan.

Muhammad Azriq yang juga anak sulung sentiasa mendoakan bapanya dapat menjalani kehidupan normal dan boleh bergaul mesra semula dengan rakan-rakannya seperti masa lalu.

“Saya yakin dia akan pulih, bila ayah pulih, baharulah saya lebih yakin hendak belajar dan bantu keluarga satu hari nanti,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan, boleh menghubungi ibunya, Norhayati Khamis di talian 016-2541228.


Pengarang :