Pelancaran Rumah Selangorku di Setia City Convention Centre, Shah Alam pada 30 Jun 2016. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKNS sasar bina lebih 10,000 rumah mampu milik

SHAH ALAM, 22 JULAI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasar pembinaan 10,686 Rumah Selangorku bermula tahun ini sehingga 2029, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata projek perumahan mampu milik tersebut dilaksana di Bernam Jaya, Kota Puteri, Cyberjaya dan Setia Alam.

“PKNS komited memastikan rakyat negeri ini mampu membeli dan memiliki rumah. Ketika ini pembinaan pangsapuri fasa satu membabitkan 864 unit rumah giat dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Beliau berkata projek siap meliputi:

1. 1,422 unit rumah berkembar di Bukit Botak
2. 124 unit Pangsapuri Damai di Seksyen 3 Bandar Baru Bangi
3. 129 unit rumah teres satu setengah tingkat di Antara Gapi
4. 198 unit rumah jenis bandar di Kota Puteri
5. 80 unit rumah teres dua tingkat di Antara Gapi
6. 60 unit rumah dua tingkat di Taman Keruing

Dasar Rumah Selangorku 2.0 diperkenal pada April 2018 bagi menambah baik dasar perumahan mampu milik yang menumpu penambahbaikan aspek pemilikan, perancangan dan pelaksanaan supaya memberi manfaat kepada pemaju, pelaksana dasar dan pemilik rumah.

Rumah Selangorku dijual pada harga antara RM42,000 sehingga RM250,000 dengan variasi lima jenis rumah iaitu A, B, C, D dan E berkeluasan antara 700 sehingga 1,000 kaki persegi.

Kerajaan Negeri menetapkan syarat dan kawalan pembangunan rumah bagi memastikan penyediaan jenis rumah kos bebas serta terkawal di Selangor ditawarkan kepada rakyat.


Pengarang :