Penguat kuasa KPDNHEP Selangor memeriksa harga barangan di sebuah pasar raya di Petaling Jaya. Foto Facebook KPDNHEP Selangor
AGENDANASIONAL

PKPP: 20 premis tidak patuh SOP, satu diberi amaran

SHAH ALAM, 5 JULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran kepada sebuah daripada 20 premis perniagaan kerana tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan ke atas premis itu ketika melakukan pemeriksaan khas pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) terhadap 1,284 premis perniagaan di seluruh negara semalam.

“Manakala 19 premis lagi diberi nasihat dan baki 1,264 mematuhi SOP,” kata menteri kanan (kluster keselamatan) dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan pemeriksaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) ke 20 tapak pembinaan mendapati 12 daripadanya mematuhi SOP manakala lapan yang lain tidak beroperasi.

Setakat ini, jumlah pematuhan tatacara melibatkan 2,750 tapak manakala 495 sebaliknya dan diberi amaran selain 19 daripadanya diarah tutup.

Sementara itu, tujuh operasi sanitasi awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dilakukan meliputi tujuh zon di lima negeri antaranya tiga di Melaka manakala masing-masing satu di Sarawak, Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Perak.


Pengarang :