AGENDAEKONOMINASIONAL

PNB lancar aplikasi mudah alih pelaburan mikro pertama Malaysia

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Permodalan Nasional Bhd (PNB) melancarkan Raiz, aplikasi mudah alih pelaburan mikro pertama Malaysia, yang membolehkan rakyat negara ini melabur dengan nilai bermula serendah RM5.

Semasa pelancaran Raiz secara maya hari ini, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata pihaknya menyasarkan lebih 60,000 pendaftaran bagi aplikasi itu menjelang akhir 2020 dan ia kini mempunyai 15,000 pengguna.

Aplikasi inovatif itu dibangunkan oleh Raiz Malaysia Sdn Bhd, syarikat usaha sama 30:70 di antara anak syarikat PNB, Jewel Digital Ventures Sdn Bhd dengan Raiz Invest Australia Ltd (Raiz Invest) iaitu unit Raiz Invest Ltd yang disenaraikan di Bursa Sekuriti Australia (ASX).

Beliau berkata warga Malaysia boleh memuat turun, mendaftar dan menggunakan aplikasi itu untuk mula melabur dengan nilai serendah RM5 dalam akaun masing-masing.

“Ini merupakan perkembangan semula jadi bagi usaha capaian PNB untuk memastikan produk unit amanah kami boleh diakses secara mudah oleh rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata aplikasi itu merupakan satu lagi inisiatif yang memanfaatkan pengalaman digital untuk menggalakkan rakyat Malaysia menyimpan dan melabur.

“Susulan pelancaran aplikasi Raiz, dan dengan lebih 90 peratus rakyat Malaysia kini menggunakan telefon pintar, ini bermakna hampir semua orang boleh mula melabur secara mudah menerusi kaedah ini.

“Seperti kata peribahasa, berdikit-dikit lama-lama menjadi bukit. Dalam era teknologi masa kini, kita tidak perlu lagi menyimpan duit dalam tabung syiling, sebaliknya, kita dapat melakukannya dengan Raiz,” katanya dalam ucapan.

Beliau berkata untuk memudahkan usaha itu, Raiz Malaysia telah memeterai perkongsian eksklusif dengan Malayan Banking Bhd (Maybank) untuk membolehkan pengguna aplikasi Raiz menghubungkan aplikasi itu dengan kad debit Maybank masing-masing.

“Pada peringkat awal, kami bermula dengan Maybank memandangkan capaiannya kepada pelanggan adalah luas.

“Tahun depan, Raiz akan tersedia untuk kerjasama dengan bank lain dan kami mengalu-alukan lebih banyak kerjasama daripada institusi perbankan dan penyedia e-dompet lain untuk menjadi sebahagian usaha ini, kerana agenda kita ialah menggalakkan rakyat Malaysia menyimpan dan melabur walaupun dalam nilai wang yang kecil,” katanya.

PNB menerusi kenyataan berasingan berkata Raiz merupakan aplikasi mudah alih pelaburan mikro yang memanfaatkan duit baki secara maya daripada pembelian harian pengguna untuk melabur dalam dana harga berubah Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) secara proaktif berdasarkan portfolio pelaburan peribadi masing-masing.

“Ia adalah cara unik untuk pengguna memanfaatkan sepenuhnya setiap sen yang dibelanjakan dengan bakinya boleh disimpan dan dilabur,” katanya.

Selain daripada pelaburan yang dibundarkan, pengguna boleh memilih untuk melabur secara pelaburan sekali gus dan pelaburan berulang.

-BERNAMA


Pengarang :