Dato’ Seri Amirudin Shari berbahas di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 16 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Utama ganti paip lama, elak gangguan bekalan air

SHAH ALAM, 17 JULAI: Penggantian paip usang bagi mengelak gangguan bekalan air keutamaan Kerajaan Negeri ketika ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata paip baharu lebih berkualiti serta tahan lasak berbanding sedia ada menggunakan jenis simen asbestos yang mudah terhakis.

“Lebih 100km paip ditukar setiap tahun sejak 2016 dan kerja penggantian terus dijalankan bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat seiring sasaran Negeri Pintar 2025.

“Panjang keseluruhan paip di Lembah Klang hampir 29,000km dan proses penggantian memerlukan tempoh lama. Berdasarkan pertemuan saya dengan pengendali air swasta di negara ini dan Asia Tenggara, 20 tahun diperlukan untuk ganti 25,000km paip,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul mempercepat proses penggantian paip bagi mengurangkan gangguan bekalan air pada sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Sementara itu, Amirudin berkata kejayaan meletakkan pengurusan industri air di bawah satu operator penting bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan.

“Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) menjadi operator tunggal di negeri ini, jadi tumpuan kita untuk menjamin kualiti perkhidmatan bagi jangka panjang.

“Kita baru siapkan Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang Fasa 1, selepas ini kita perlu bangunkan LRA Labohan Dagang Fasa 2 dan LRA Sungai Rasau pula. Kita tidak fikir keuntungan, jika Air Selangor untung pun mungkin selepas 10 tahun,” katanya.


Pengarang :