Azmizam Zaman Huri mengadakan lawatan tapak bagi melihat tahap pencahayaan lampu jalan solar LED yang baru siap dipasang di sebahagian kawasan di Pelabuhan Klang pada 29 Ogos 2020. Foto Facebook Azmizam Zaman Huri
ADNSELANGOR

ADN: 542 lampu jalan LED di Pelabuhan Klang dijangka siap November

SHAH ALAM, 31 OGOS: Sistem pencahayaan di beberapa kawasan sekitar Pelabuhan Klang terus dinaik taraf apabila sebanyak 542 unit lampu jalan diod pemancar cahaya (LED) berkuasa solar akan dipasang dan dijangka siap akhir November tahun ini.

Ahli Dewan Negerinya berkata projek menelan kos RM2.9 juta itu menggunakan pendawaian elektrik tanpa kabel bagi mendapatkan sumber tenaga elektrik sekali gus menjimatkan kewangan kerajaan.

“Sumber tenaga untuk menyalakan lampu solar LED ini diperoleh daripada cahaya matahari yang berfungsi mengecas bateri lampu tersebut dan tiada penyelenggaraan khusus diperlukan.

“Lampu ini akan menyala 12 jam sehari dengan kecerahan dikurangkan selepas jam 12 tengah malam bagi menjimatkan kuasa bateri, malah pihak pembekal memberikan jaminan bateri selama lima tahun,” kata Azmizam Zaman Huri.

Antara lokasi pemasangan lampu jalan LED adalah FT181 Lebuhraya Pulau Indah (95), FT347 Lingkaran Pulau Indah (82), FT3218 Jalan Perindustrian Pandamaran, Pelabuhan Klang (83), FT180 Jalan Pelabuhan Utara-Barat, Jambatan Jalan Kem, Pelabuhan Klang (92), FT103 Jalan Parang, Pelabuhan Klang (95) dan FT20 Lebuhraya Selat Klang (95).

Azmizam berkata inisiatif itu diharap mengatasi isu kecurian kabel dan wayar yang sering berlaku di kawasan terbabit sehingga menyebabkan banyak kawasan gelap selain membahayakan pengguna jalan raya.

“Semua unit kuasa seperti bateri dan panel solar akan berada di bahagian atas lampu pada ketinggian 10 meter yang bertujuan untuk mengelakkan kecurian serta vandalisma,” katanya.

Sebelum ini, sebanyak 200 tiang lampu dipasang bermula dari Persimpangan Lebuhraya Pulau Indah hingga ke Jambatan Sungai Pinang.


Pengarang :