ADNSELANGOR

ADN Jeram umum keluar Bersatu, bergerak sebagai wakil rakyat bebas

KUALA SELANGOR, 8 OGOS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Jeram, yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kuala Selangor Mohd Shaid Rosli, mengumumkan keluar daripada parti itu berkuatkuasa serta-merta hari ini, dan bergerak sebagai wakil rakyat bebas.

Turut mengumumkan keluar daripada parti berkenaan adalah 21 ahli jawatankuasa (AJK) Bahagian Bersatu Kuala Selangor.

“Saya selaku ADN yang dipilih bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, bertanggungjawab dengan mandat dan amanah yang diberikan kepada saya.

“Maka saya ingin terus bersama dengan rakyat, yang memberi mandat kepada saya sehingga mereka membuat keputusan baharu pada pilihan raya umum akan datang,” katanya pada sidang media di Pejabat Bersatu Bahagian Kuala Selangor, di sini hari ini.

Mohd Shaid berkata, susulan pengumumannya keluar daripada parti itu, 13 cawangan Bersatu Bahagian Kuala Selangor, yang melibatkan lebih 2,000 ahli, turut terbubar secara automatik.

Ditanya sama ada tindakan beliau keluar daripada Bersatu adalah bagi menyertai parti baharu yang ditubuhkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Mohd Shaid berkata, pihaknya bersedia mempertimbangkannya jika parti itu benar-benar wujud.

“Ada kebarangkalian besar untuknya saya dan ahli-ahli Bersatu Bahagian Kuala Selangor, menyertai parti tersebut,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan sebuah parti baharu yang tidak terikat atau menyokong mana-mana gabungan parti, sama ada Pakatan Harapan (PAKATAN) atau Perikatan Nasional (PN).

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi dengan gabungan Pakatan Harapan memiliki 41 kerusi iaitu PKR (17), DAP (16) dan Amanah (lapan), manakala Barisan Nasional (lima), PAS (satu), Bersatu (lima) dan Bebas (empat).

– BERNAMA


Pengarang :