ADNSELANGOR

ADN Kota Anggerik bantu penulis bebas terkesan Covid-19

SHAH ALAM, 11 OGOS: Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi menghulur bantuan wang ringgit kepada seorang penulis bebas yang terkesan penularan Covid-19.

Najwan berkata, lebih malang rumah penerima bantuan, Aina Mastura Mohamed Said yang merupakan anak Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan turut dipecah masuk Jun lalu mengakibatkan barangan berharga termasuk komputer riba milik suaminya hilang.

“Saya dimaklumkan suami Aina perlu menggantikan komputer berkenaan. Aina pula berhenti kerja ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan ini menjadi beban kepada keluarga muda ini.

“Oleh sebab itu saya mengambil inisiatif menyumbang wang ringgit dari peruntukan DUN. Diharap bantuan ini dapat meringankan beban mereka,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Sementara itu, Aina Mastura,32, berkata beliau terharu dengan keprihatinan Najwan membantunya ketika berdepan masalah.

“Gaji suami dipotong mulai bulan ini. Dengan bantuan diterima semalam, ia dapat membantu kami dari segi kewangan. Terima kasih YB,” katanya.


Pengarang :