Waktu kerja anjal dapat mengurangkan kos seseorang pekerja dalam menjalankan tugas.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Cuepacs minta kerajaan segera laksana lima tuntutan

KUANTAN, 16 OGOS: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan agar segera menunaikan lima tuntutan yang belum dilaksanakan bagi menjaga kepentingan dan kebajikan penjawat awam.

Presidennya, Adnan Mat berkata ini kerana penjawat awam telah membuktikan taat setia dan bekerjasama dengan tetap melaksanakan tugas dengan baik dan berdedikasi walaupun berlaku perubahan kerajaan.

“Lima perkara ini sudah dimuktamadkan setelah kajian terperinci dilakukan tetapi mengapa ia masih tidak dilaksanakan? Apabila pertukaran kerajaan berlaku, kakitangan kerajaan menjadi mangsa keadaan yang mana ada permintaan kita telah diabaikan.

“Sedangkan mereka telah menjalankan tugas dengan baik tanpa mengira siapa yang menjadi kerajaan sekali gus memastikan kerja pentadbiran pejabat kerajaan berjalan seperti biasa,” katanya.

Adnan berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Dokumen Perjanjian (MoA) antara Widad University College (WUC) dengan USAINS Holding Sdn Bhd serta Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara WUC dengan Kesatuan Kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat Semenanjung Malaysia (Kesateria) di sini.

Lima tuntutan itu ialah kenaikan gaji berkuat kuasa 1 Julai 2018 dan pemendekan kenaikan pangkat ‘time based’ kali kedua yang dikurangkan dari 13 tahun kepada 10 tahun berkuat kuasa 1 Januari 2018, selain pengumuman gaji tambahan kepada guru gred DG56.

Ia juga melibatkan penebusan awal Gantian Cuti Rehat (GCR) sebanyak 75 hari boleh ditukar kepada wang tunai bagi yang sudah berkhidmat lebih daripada 15 tahun dan Kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) tambahan sebanyak RM50 sebulan bagi kumpulan pelaksana juga diperluas kepada penjawat awam Sabah dan Sarawak.

– BERNAMA


Pengarang :