Seorang pengunjung mengambil peluang membeli-belah setelah kerajaan membenarkan hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan beroperasi semula pada 4 Mei 2020 mengikut SOP ketat. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pemulihan perniagaan dijangka antara empat bulan hingga dua tahun

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Pemulihan perniagaan dijangka mengambil masa antara empat bulan hingga dua tahun bergantung kepada jenis sektor dan impak Covid-19 ke atas perniagaan itu, menurut Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM).

Presidennya Tan Sri Soh Thian Lai berkata rantaian bekalan akan terus menerima kesan susulan kelewatan penghantaran daripada pembekal dan penghantar yang berdepan kenaikan kos logistik dan penghantaran, peningkatan harga bahan mentah serta kekurangan bekalan.

“Sektor pengilangan akan terus mengambil pendirian pesimistik ke atas unjuran mereka bagi prospek perniagaan untuk tempoh yang berbaki tahun ini.

“Bagi kebanyakan syarikat, keseluruhan aktiviti perniagaan termasuk jualan domestik dan eksport bagi enam bulan akan datang dijangka rendah kerana mereka masih meneruskan pemulihan semula perniagaan,” katanya dalam kenyataan.

FMM menyifatkan kuantum penguncupan ekonomi bagi suku kedua tahun ini seperti diumumkan Bank Negara Malaysia pada Jumaat, membuktikan impak buruk pandemik Covid-19 ke atas perniagaan.

Ia turut menjangkakan sebaik tempoh moratorium pinjaman bank secara automatik dan subsidi upah selama enam bulan berakhir September ini, kebanyakan syarikat dan perniagaan akan berdepan kos dua kali ganda yang memberi impak buruk terhadap inisiatif pemulihan perniagaan mereka.

“Bagi memastikan ekonomi mampu dipulihkan segera dan perniagaan dapat meningkatkan pendapatan mereka dan mengekalkan tenaga kerja, kita boleh memohon agar kerajaan meneruskan sokongan kepada industri dengan menyediakan lebih banyak inisiatif dan bantuan.

“Ini khususnya seperti pelanjutan moratorium bagi kemudahan perbankan dan pelaksanaan yang tepat pada masanya bagi Rang Undang-undang Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020,” kata Soh.

– BERNAMA


Pengarang :