Grafik Media Selangor
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Dasar tepat, anjal penentu kemampuan tangani cabaran ekonomi

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Pandemik Covid-19 terbukti menjejaskan ekonomi global termasuk di negara-negara membangun dengan angka pertumbuhan suku kedua masing-masing menjunam ke paras yang tidak pernah dilihat sejak berlakunya Krisis Kewangan Asia pada 1998.

Malaysia juga tidak terkecuali apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2020 menguncup 17.1 peratus, sekali gus mengatasi angka -11.2 peratus yang pernah dicatatkan pada suku keempat 1998.

Impak pandemik itu turut menular di peringkat serantau yang menyaksikan Thailand mengalami penyusutan terburuknya dalam tempoh 22 tahun apabila KDNK bagi tempoh sama menguncup 12.2 peratus manakala pertumbuhan ekonomi Singapura susut 13.2 peratus dan Indonesia turut menguncup 5.32 peratus.

Malah, kesan negatif itu juga dialami kalangan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat yang mencatat tempoh terburuk bagi suku kedua 2020 dengan KDNK merosot ke paras rekod pada 32.9 peratus dan zon Eropah menguncup 12.1 peratus bagi tempoh sama.

Jika diamati, ekonomi Malaysia memerlukan hala tuju serta dasar tepat bagi membolehkan negara dikemudi ke landasan kukuh dengan tumpuan terhadap rakyat kumpulan sosioekonomi lebih rendah yang terjejas teruk akibat impak Covid-19.

Kadar pengangguran pada Jun 2020 misalnya telah mengalami penyusutan bulan ke bulan kepada 4.9 peratus daripada paras tertinggi sebanyak 5.3 peratus pada Mei 2020 berikutan pembukaan semula sebahagian besar sektor termasuk industri perkhidmatan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi memulihkan semula ekonomi selain membendung pandemik itu.

Walaupun ekonomi Malaysia sudah menunjukkan tanda-tanda awal pemulihan berbentuk ‘V,’ ini tidak bermakna keadaan sudah reda sebaliknya perlu terus bersiap sedia termasuk melaras semula dasar-dasar serta pendekatan sewajarnya.

Mungkin inilah alasannya di sebalik pendirian kerajaan yang terbuka kepada idea pelaksanaan pendekatan bersasar.

Sebagaimana ditegaskan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz baru-baru ini, masih terdapat ruang bagi insiatif bersasar susulan rancangan menaikkan had hutang statutori Malaysia kepada 60 peratus daripada KDNK berbanding 55 peratus ketika ini.

Menurut beliau, ini merupakan sebahagian daripada suntikan langsung kerajaan bernilai RM45 bilion ke dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) serta Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Selain itu, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyemak unjuran pertumbuhan KDNK 2020 kepada -5.5 peratus hingga -3.5 peratus daripada -2.0 hingga 0.5 peratus sebelum ini.

Bank pusat itu juga menjangkakan ekonomi akan pulih daripada impak Covid-19 dan mencatat pertumbuhan 5.5 peratus hingga 8.0 peratus pada 2021.

Mengulas perkara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kegiatan ekonomi dijangka meningkat pada suku ketiga 2020 dan berterusan dalam tempoh tiga bulan terakhir.

Menurutnya, ini berikutan ekonomi yang terus beroperasi walaupun secara berperingkat.

Beliau juga optimis bahwa dasar fiskal yang dilaksanakan oleh kerajaan dan akomodatif kewangan sedia ada oleh BNM dapat membantu dari segi hala tuju ekonomi dalam tempoh berbaki 2020 dan memasuki 2021.

“Perkembangan membabitkan penghasilan vaksin juga cerah susulan kemajuan seperti ujian oleh syarikat farmaseutikal dan bioteknologi, termasuk di peringkat lanjutan.

“Atas alasan itu, kita tidak boleh menidakkan kemungkinan vaksin Covid-19 dapat dihasilkan walaupun keadaan masih terlalu awal. Bagi saya, sebahagian besar negara masih sukar untuk menyatakan jangka masa sebenar kerana membabitkan kejutan yang negatif,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, ketika negara telah mula menerima impak Covid-19 pada suku kedua serta membayangkan keadaan pada separuh kedua tahun ini dan tahun depan, tumpuan ramai pastinya terarah kepada pembentangan Belanjawan 2021 serta Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Tidak keterlaluan jika dikatakan Belanjawan 2021 itu adalah yang paling penting memandangkan impak krisis kesihatan yang masih ada serta bagaimana ia telah mengubah cara kerja serta usaha menjalankan perniagaan di negara ini.

Ini turut diakui Tengku Zafrul dalam pertemuan dengan Bernama baru-baru ini.

“Setakat ini, perbincangan lebih kepada perubahan model-model perniagaan bagi mengharungi cabaran akibat Covid-19. Dua bidang penting bagi kemajuan negara adalah modal insan dan teknologi,” kata beliau.

Belanjawan 2021 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November ini, bermatlamat memperkasakan semula ekonomi selain memulihkan semula keyakinan pelabur dan pengguna bagi memacu ekonomi.

Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata Malaysia boleh memanfaatkan permintaan lebih besar susulan pandemik tersebut seperti peningkatan perbelanjaan bagi tujuan penjagaan kesihatan dan penggunaan lebih ketara membabitkan semikonduktor dan peranti perubatan telah menyaksikan Malaysia berperanan sebagai penggiat utama.

Ini juga berikutan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia, menempatkan firma teknologi terkemuka global, pasaran terbesar untuk alat atau peranti perubatan di Asean dan di tempat ketiga di Asia dari segi persiapan menghadapi penularan wabak atau pandemik.

“Pelaksanaan dasar-dasar yang tepat bagi memanfaatkan peluang dalam aspek kebiasaan baharu serta kawasan pertumbuhan baharu. Kita mampu lakukannya kerana sudah pun memiliki asas-asasnya. Kita boleh meraih manfaat hasil daripada kekuatan itu,” katanya baru-baru ini.

Peniaga dan pelanggan memakai pelitup muka serta mematuhi SOP ketika melakukan urusan jual beli di Sri Gombak, Batu Caves pada 22 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Dalam pada itu, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) baru-baru ini menekankan sudah tiba masanya bagi kerajaan untuk mengenal pasti dan mengutamakan subsektor atau kegiatan dalam rantaian nilai yang penting dan boleh dimanfaatkan industri Malaysia termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) agar dapat berdaya saing di peringkat domestik, rantau dan global.

Pada masa sama, pandemik itu juga telah membangkitkan kepentingan bagi menangani aspek jurang sedia ada dalam perlindungan sosial dan menyasarkan kelompok terutamanya PKS yang juga majikan terbesar di negara ini.

Pengurus Penyelidikan Ideas Lau Zheng Zhou berkataan kerajaan dijangkakan menggariskan pendekatan dasar dalam Belanjawan 2021 bagi persiapan menghadapi kemungkinan implikasi ekonomi akibat gelombang Covid-19 yang seterusnya.

Ini termasuk memperluas program-program berteraskan jaminan atau perlindungan sedia ada, menyasarkan sektor paling teruk terjejas dan menangani keupayaan PKS untuk menyesuaikan diri tdengan keperluan berkaitan.

“Ada di antara langkah ini mungkin tidak melibatkan suntikan fiskal secara langsung namun tetap membabitkan impak terhadap defisit fiskal dan had hutang. Bagaimanapun, keutamaannya adalah untuk melindungi dan menggalakkan lagi pertumbuhan,” katanya.

Lau turut menyifatkan bahawa pilihan terhadap pemulihan ekonomi ketika ini lebih terhad berbanding ketika Krisis Kewangan Asia berikutan perdagangan dan pelaburan langsung asing (FDI) turut terjejas susulan krisis kesihatan yang berterusan di negara-negara maju.

“Kerajaan perlu mempertimbang alternatif seperti mengenal pasti subsektor yang kita ada kelebihan daya saing di rantau ini bagi meraih manfaat daripada penempatan semula rantaian bekalan dari China ke Asean yang berlaku sekarang.

“Keupayaan menarik FDI yang berpotensi tinggi akan membolehkan Malaysia mempercepat proses automasi dan pendigitalan, terutamanya dengan menyasarkan PKS tempatan,” katanya.

Apa yang pasti, keadaan sekarang merupakan suatu tempoh yang sememangnya amat mencabar untuk kerajaan.

Setakat ini, kerajaan mempunyai dasar serta mekanisme yang tepat untuk terus kekal di landasan serta hala tuju pertumbuhan ekonomi.

Namun, dasar-dasar serta hala tuju di masa depan juga perlu sama kukuhnya serta fleksibel agar dapat diperkemas serta dipertingkat dalam tempoh sesingkat mungkin untuk disesuaikan dengan keperluan cabaran mahu pun bagi merebut peluang baharu demi menjana pertumbuhan ekonomi.

-BERNAMA


Pengarang :