Rusia mengumumkan mendaftarkan vaksin Covid-19 pertama di dunia, dikenali Sputnik V. Foto REUTERS
AGENDA GLOBAL

Indonesia bangunkan vaksin Merah Putih untuk Covid-19

JAKARTA, 24 OGOS: Indonesia sedang membangunkan vaksin untuk Covid-19 yang dinamakan vaksin Merah Putih, yang dijangka dikeluarkan pada pertengahan tahun 2021.

Presiden Indonesia Joko Widodo berkata, penyelidikan dan pembangunan vaksin itu sedang dilakukan Lembaga Biologi Molekuler Eijkman (LBM), menerusi kerjasama dengan syarikat dari China, dengan menggunakan DNA virus asli Indonesia.

“Kita bisa (boleh) produksi lebih banyak dan kalau yang kita miliki berlebih, boleh dijual ke negara lain, kerana di ASEAN saya lihat belum ada yang siap (menghasilkan) vaksin,” katanya di Istana Negara Jakarta, seperti disiarkan televisyen tempatan hari ini.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Indonesia menerusi LBM, badan di bawah Kementerian Riset dan Teknologi Indonesia telah bekerjasama dengan syarikat biofarmaseutikal dari China, iaitu Sinovac Biotech bagi melakukan penyelidikan vaksin Covid-19, sejak beberapa bulan lepas.

Dilaporkan vaksin itu kini memasuki fasa ketiga ujian dan jika berjaya, Indonesia bakal mengeluarkan 290 juta dos vaksin itu menjelang akhir 2021.

Sementara itu menurut laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, www.covid19.go.id hari ini, kes positif Covid-19 keseluruhan di Indonesia berterusan meningkat kepada 155,412 kes, manakala kes kematian keseluruhan meningkat kepada 6,759 orang.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 79 lagi kematian berlaku, manakala sebanyak 1,877 kes positif baharu direkodkan dalam tempoh berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :