Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan kepada penerima ketika program Sumbangan Khas Sempena Pasca Pemulihan Covid – 19 di Dewan Teratai, Shah Alam pada 9 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Inisiatif MBSA dihargai, penerima mahu bangkit cari pekerjaan

SHAH ALAM, 9 OGOS: Sumbangan Khas Sempena Pasca Covid-19 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sedikit sebanyak meringankan beban individu yang hilang pendapatan ketika penularan Covid-19.

Mohd Razali Salleh, 44, berkata beliau diberhentikan kerja Mac lalu selepas berkhidmat lebih 22 tahun di sebuah syarikat pencetakan akhbar.

Mohd Razali Salleh

“Saya berterima kasih kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kerana memberikan nama kepada MBSA untuk menerima sumbangan hari ini.

“Ketika awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya akui agak panik kerana tiada kerja dan ambil keputusan balik ke kampung dan lakukan kerja-kerja kecil di sana. Sekarang dalam proses mencari kerja,” kata bapa kepada empat anak.

Tambahnya, selepas ini beliau mahu berniaga kecil-kecilan bagi menampung kehidupan di samping mencari kerja baharu.

Bagi Rasalechumi Kanagaratmam, 59, beliau gembira dipilih untuk menerima sumbangan selepas diberhentikan kerja pada April.

Rasalechumi Kanagaratmam

Menurut ibu kepada dua anak yang masih belajar, beliau pernah berkhidmat di klinik swasta selama 37 tahun di samping menjaga suami berdepan masalah kesihatan.

“Program sebegini sangat baik dan sedikit sebanyak membantu golongan terjejas seperti kami. Saya sendiri diberhentikan serta merta pada awal April lalu dan ketika itu masih diberikan gaji,” katanya.

Sementara itu, Intan Farhana Abdul Rashid, 29, menceburi perniagaan makanan kecil-kecilan selepas mengambil keputusan berhenti secara sukarela dari sebuah syarikat pembinaan.

Pernah berkhidmat selama dua tahun, beliau mengakui kekurangan projek pembinaan memaksa syarikat mengurangkan jumlah kakitangan membuatkannya beralih ke bidang lain.

Intan Farhana Abdul Rashid

“Pada awalnya terkejut juga untuk berhenti kerana tiada persediaan dari segi kewangan. Saya ambil keputusan untuk jalankan perniagaan secara dalam talian.

“Alhamdulillah dengan sokongan diberikan kawan-kawan dan program seperti dianjurkan MBSA sedikit sebanyak dapat membantu saya,” katanya ketika penyampaian sumbangan di Dewan Teratai MBSA, Seksyen 19 hari ini.


Pengarang :