Sebahagian bangunan yang musnah dalam insiden letupan di kawasan pelabuhan Beirut, Lubnan pada 5 Ogos 2020. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Insiden Beirut: Malaysia sedia bantu Lubnan

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Malaysia bersedia menghulur bantuan kepada Lubnan dalam apa jua cara yang mungkin, susulan kejadian letupan hebat yang menggegarkan Beirut, Lubnan pada Selasa.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini berkata Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada kerajaan dan seluruh rakyat Lubnan yang terkesan dengan tragedi itu.

“Malaysia tersentak dan sedih dengan kehilangan nyawa serta kecederaan yang dialami ramai penduduk akibat letupan itu semalam. Sehingga kini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkesan secara terus dalam insiden berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang tinggal di Lubnan dinasihatkan supaya memberikan keutamaan kepada keselamatan diri dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Lubnan.

Bagi sebarang bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi pejabat Kedutaan Malaysia di Beirut yang terletak di 5th & 6th Floor No. 126, Halwani Building, Salah Eldin Al Ayyoubi Street, Ras Beirut, dengan menelefon +961-1-787 144 atau +961-1-787 166, atau faks ke nombor +961-1-787 344, atau menghantar email di alamat [email protected].

Letupan dahsyat di sebuah gudang di pelabuhan di ibu negara Lubnan, Beirut, itu mencetuskan kemusnahan di seluruh bandar raya dan menyebabkan sekurang-kurangnya 70 orang maut dan lebih 3,000 orang cedera setakat ini.

-BERNAMA


Pengarang :