Tempahan buku secara dalam talian BooksFly2U oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor menyediakan khidmat penghantaran terus ke lokasi peminjam. Gambar dirakamkan di Pustaka Raja Tun Uda pada 10 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kanak-kanak 12 tahun peminjam paling muda program BooksFly2U

SHAH ALAM, 10 OGOS: Kanak-kanak 12 tahun menjadi peminjam buku paling muda menerusi program BooksFly2U, kata pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Mastura Muhammad berkata pihaknya tidak menjangka program pinjaman buku secara panggilan telefon itu mendapat reaksi positif dari golongan kanak-kanak.

“Salah seorang kakitangan PPAS yang mengendalikan proses pinjaman buku ini terkejut apabila ada kanak-kanak yang menghubungi mereka untuk meminjam buku.

“Sejak BooksFly2U dilancarkan, majoriti peminjam terdiri dari golongan dewasa ini kerana mereka meminjam buku untuk anak-anak, tetapi berbeza kali ini apabila kanak-kanak sendiri yang menghubungi PPAS untuk mendapatkan buku,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Mengulas lanjut mengenai program berkenaan, Mastura berkata jumlah peminjam buku secara e-panggilan itu merekodkan lebih 200 pinjaman setakat ini.

Katanya, buku bagi kategori fiksyen paling banyak dipinjam dengan novel siri Harry Porter menjadi tumpuan utama.

“Buku ini menjadi pilihan kerana harganya di pasaran agak mahal, oleh sebab itu orang ramai suka untuk meminjamnya dari perpustakaan.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan ini, saya sarankan supaya orang ramai mengambil peluang menggunakan BooksFly2U untuk meminjam buku-buku, hanya buat panggilan, buku yang ingin dibaca akan sampai di rumah,” kataya.

Melalui BooksFly2U yang dilancarkan pada 16 Julai lalu, peminjam hanya perlu membuat panggilan telefon atau menghantar pesanan tajuk buku ke nombor 010-8491448 atau 03-55197667.

Dalam tempoh dua hari, petugas perpustakaan akan mendapatkannya dan mengaturkan penghantaran menggunakan khidmat e-panggilan manakala kos penghantaran serta pemulangan semula buku ditanggung peminjam.


Pengarang :