Piala Kejohanan Golf Klasik Selangor 2020. Foto Facebook Kota Permai Golf & Country Club
AGENSISELANGOR

Kejohanan Golf Klasik Selangor 2020 bakal himpun 100 pemain

SHAH ALAM, 14 OGOS: Seramai 100 pemain golf amatur bakal berentap dalam Kejohanan Golf Klasik Selangor 2020 di The Mines Resort and Golf Club, Seri Kembangan dan Kota Permai Golf and Country Club, Shah Alam pada 29 hingga 30 September depan.

Pengurus Besar Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad berkata kejohanan julung kali dengan kerjasama Liberty Golf Services sebagai usaha mempromosikan pelancongan domestik di negeri ini selaras kempen ‘Pusing Selangor Dulu’.

“Kejohanan ini akan menguji sejauh mana kemampuan peserta dalam sukan golf selain memberi peluang untuk belajar dan meningkatkan kemahiran supaya menjadi pemain golf profesional.

“Saya yakin, penganjuran acara berprestij ini memberi mesej jelas kepada pelancong dalam mahupun luar negara bahawa Selangor adalah hab pelancongan golf terkemuka di Malaysia,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata pemain golf dan penonton diingatkan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang kejohanan berlangsung seperti menjalani pemeriksaan suhu badan, menggunakan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan memakai pelitup muka bagi mengelak penularan Covid-19.

“Jumlah pemain bagi setiap kumpulan terhad kepada empat dan hanya seorang pembantu pemain golf disediakan untuk dua pemain manakala dua orang dibenarkan berada di dalam kereta ‘buggy’ pada satu-satu masa,” katanya.

Kejohanan selama dua hari itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM100,000 dan pemain pertama melakukan pukulan Hole-in-One berpeluang memenangi baucar percutian golf bernilai RM50,000 tajaan Liberty Golf Services.

Sebanyak RM999 dikenakan sebagai yuran penyertaan dan peserta turut berpeluang membawa pulang cenderamata eksklusif tajaan Srixon seperti beg cart golf, baju-t Polo, topi dan bola golf berharga RM1,300.

Pendaftaran boleh dibuat di http://libertygolf.com.my/SGC2020


Pengarang :