Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berucap ketika Program Penyerahan Lesen Penjaja Sementara Pasca Covid- 19 di Dewan Hamzah Klang pada 19 Ogos 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Kerja pembersihan kekalkan kualiti, jadikan Sungai Klang sumber air baharu

KLANG, 20 OGOS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menjalankan kerja pembersihan Sungai Klang secara berperingkat bagi memastikan airnya bersih dan berkualiti.

Yang Dipertuanya berkata sekiranya kualiti dan tahap kebersihan air di sungai itu memuaskan, ia dapat merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri menjadikannya sebagai sumber bekalan air baharu kepada Selangor.

“Bila ia berlaku, secara tidak langsung dapat meningkatkan sosioekonomi setempat terutama industri pelancongan. Ia menjana ekonomi penduduk tempatan,” kata Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin ketika ditemui di Majlis Penyerahan Lesen Penjaja Sementara Pasca Covid-19 Peringkat MPK semalam.

Pada Selasa ketika majlis Perasmian Sambutan Hari Sungai Sedunia 2020 Peringkat Selangor 2020, Dato’ Menteri Besar memaklumkan Sungai Klang berpotensi menjadi sumber bekalan air baharu kepada Selangor pada masa hadapan berikutan peningkatan kualiti bahan mentah itu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata indeks kualiti air sungai tersebut berada pada tahap tiga dan diyakini mampu mencapai tahap dua iaitu lebih baik secara konsisten serta jika ia tercapai 1,000 juta liter sehari (MLD), air mentah dapat disalurkan kepada penduduk Selangor secara berfasa.


Pengarang :