Dato’ Seri Amirudin Shari melawat bengkel automotif selepas Majlis Penjenamaan Kolej Antarabangsa INPENS dan Penyampaian Sijil Tamat Latihan Program Penajaan Inisiatif Kemahiran Teknikal Dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) di Kolej Antarabangsa INPENS, Kuala Selangor pada 25 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGOR
AGENSISELANGOR

Kolej Antarabangsa INPENS dijenama semula

KUALA SELANGOR, 25 OGOS: Kolej Antarabangsa INPENS (INPENS) dijenamakan semula sebagai Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) mulai hari ini.

Ketua Eksekutif INPENS Asyraf Amin berkata penjenamaan semula itu merupakan insiatif Kerajaan Negeri untuk merencana Agenda Pendidikan Unggul di bawah strategi Belanjawan 2020.

“Hari ini INPENS bakal mencipta satu lagi peristiwa bersejarah sepanjang 27 tahun penubuhannya melalui penjenamaan semula Kolej Antarabangsa INPENS.

“Dengan penjenamaan semula, INPENS akan terus maju dalam menyediakan latihan kemahiran yang berkualiti dan berimpak tinggi ke arah Revolusi Industri 4.0,” katanya dalam ucapan majlis penjenamaan yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Ketua Eksekutif Kolej Antarabangsa INPENS, Mohd Asyraf Amin ketika Majlis Penjenamaan Kolej Antarabangsa INPENS dan Penyampaian Sijil Tamat Latihan Program Penajaan Inisiatif Kemahiran Teknikal Dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) di Kolej Antarabangsa INPENS, Kuala Selangor pada 25 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pada majlis sama Amirudin turut menyampaikan Sijil Tamat Latihan kepada 91 pelajar tajaan program IKTISASS yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing pada 2019.

Mengulas lanjut mengenai penjenamaan itu, Asyraf berkata INPENS merancang beberapa penjajaran semula bagi mengekalkan institusi itu terus relevan sebagai pusat latihan kemahiran yang memenuhi kehendak industri.

“Rancangannya termasuk naik taraf kursus sedia ada, kukuhkan hubungan industri, tambah erat kerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Pejabat Daerah Kuala Selangor.

“Kita juga rancang mahu menganjurkan aktiviti berimpak tinggi untuk pelajar, mengukuhkan kerjasama dengan anak syarikat yang bernaung di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan memperkasa kemahiran tenaga pengajar,” katanya.


Pengarang :