Majlis menandatangani perjanjian penajaan di antara Les’ Copaque Production dan FAS Soccer School sambil disaksikan oleh DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Foto Twitter Les’ Copaque
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Les’ Copaque taja FAS, cungkil bakat baharu bola sepak

SHAH ALAM, 26 OGOS: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menjalin kerjasama dengan Les’ Copaque bagi mencungkil lebih banyak bakat baharu dalam arena bola sepak menerusi FAS Soccer School.

Jalinan kerjasama itu dimeterai menerusi majlis menandatangani perjanjian yang disaksikan Presiden FAS, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata Les’ Copaque yang juga peneraju industri animasi negara itu bersetuju menaja FAS Soccer School sebanyak RM120,000 untuk tempoh setahun.

“Perjanjian ini bergantung kepada usaha dan prestasi yang ditonjolkan oleh kami. Semakin banyak sekolah yang menyertai program ini, jumlah penajaan juga akan bertambah.

“FAS akan ketengahkan lebih banyak bakat baharu, kita akan buktikan yang kita boleh melakukannya,” katanya dipetik Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian di Ibu Pejabat Les’ Copaque Production di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Urusan Les’ Copaque, Burhanuddin Mohd Radzi.

Mengulas lanjut, Dr Johan Kamal berkata secara rasmi Les’ Copaque Production juga diumumkan sebagai Rakan Program Pembangunan Bola Sepak Akar Umbi Rasmi Red Giants.

Katanya, sehingga kini sebanyak enam sekolah rendah dengan kira-kira 500 orang murid sudah menyertai program berkenaan.

“Kita menyasarkan sebanyak 12 buah sekolah akan menyertai program itu menjelang hujung tahun ini,” katanya.


Pengarang :