Sebahagian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah dilihat meninggalkan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu pada 21 Ogos 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mahkamah tolak permohonan semak bubar DUN Sabah

KOTA KINABALU, 21 OGOS: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan 33 ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan Yang Dipertua Negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai.

Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim mendapati responden kedua dalam kes itu – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal – telah bertindak menurut Perlembagaan Sabah dalam memohon responden pertama – Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin – membubarkan DUN.

“Responden pertama (Juhar) juga telah mengambil tindakan yang tertakluk pada bidang kuasanya untuk membubarkan DUN,” katanya semasa menyampaikan keputusan mengenai perkara itu di sini.

Sejurus selepas keputusan itu disampaikan, kesemua 33 ADUN terbabit memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan.

Kumpulan 33 ADUN itu diketuai oleh bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman yang merupakan ADUN Sungai Sibuga.

Sementara itu Peguam Besar Sabah Brenddon Keith Soh berkata, tidak sepatutnya ada sebarang ketidakpastian mengenai pilihan raya negeri, sama ada ia perlu diteruskan atau tidak, berikutan penghakiman hari ini.

“Mahkamah telah menolak kes terhadap responden, tiada semakan semula diberikan… untuk proses demokrasi pilihan raya negeri diteruskan, kini akan berjalan dan Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari dari pembubarannya.

“Akhirnya, ini bukan peguam atau mana-mana pihak, kes ini, hari ini tentang menegakkan Perlembagaan Negeri Sabah, hari ini tentang rakyat Sabah, bukti demokrasi masih wujud di Sabah,” katanya.

Soh menegaskan yang mahkamah telah memutuskan pembubaran itu sah dan mengikut undang-undang, oleh sebab itu keputusan mahkamah itu seharusnya dihormati oleh semua pihak.

– BERNAMA


Pengarang :