Sebahagian penjaja berurusan di kaunter pelesenan bagi mendapatkan permit perniagaan sementara dalam Program Penyusunan Semula Peniaga dan Penjaja Bandar Baru Sungai Buloh bersama Majlis Bandaraya Shah Alam di Dewan Meranti, Sungai Buloh pada 16 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Susun semula peniaga seluruh PBT, bantu dapat lesen

SHAH ALAM, 20 OGOS: Program Penyusunan Semula Peniaga Kecil dan Penjaja akan diperluas ke seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memudahkan golongan itu memperoleh lesen perniagaan.

Dato’ Menteri Besar menggesa perkara itu susulan sambutan hangat program dua hari anjuran Majlis
Bandaraya Shah Alam (MBSA) mulai 15 Ogos di Bandar Baru Sungai Buloh dekat sini.

“Program seumpama ini akan diteruskan lagi di seluruh negeri Selangor bagi memudahkan para peniaga dan penjaja mendapatkan lesen serta permit perniagaan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada 17 Ogos
lalu.

Lebih 500 peniaga di sekitar kawasan Bandar Baru Sungai Buloh hadir taklimat di Dewan Meranti di
situ. MBSA turut meluluskan pemberian lesen perniagaan sementara kepada 180 orang.

Mengucap tahniah kepada PBT berkenaan atas inisiatif itu, Amirudin berharap pemberian lesen tersebut menjadi pemangkin kepada peniaga untuk meluaskan lagi perniagaan.

Majlis Perbandaran Klang pada 19 Ogos pula menyerahkan permit sementara kepada 35 peniaga kecil
membabitkan 25 lokasi perniagaan.

Mereka adalah sebahagian daripada 500 peniaga yang bakal menerima lesen tahun ini. Lesen
itu sah digunakan sehingga 31 Disember.

Bagaimanapun, permit berkenaan dibatalkan serta-merta jika mereka melanggar peraturan.

Sebelum ini, penjaja dan peniaga kecil berlesen yang terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan menerima bantuan sekali bayar RM500 melalui pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin.


Pengarang :