Selangorkini
Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Haris Kasim. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MBSA sedia bantu lebih 80 penjaja, peniaga kecil dapatkan permit niaga

SHAH ALAM, 14 OGOS: Lebih 80 penjaja dan peniaga kecil tidak berlesen sekitar Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U20 disaran menyertai program penyusunan semula golongan itu pada esok dan Ahad ini.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Haris Kasim berkata inisiatif Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dewan Meranti di kawasan berkenaan memberi peluang kepada mereka untuk memiliki lesen sah.

Katanya, Jabatan Pelesenan membuka kaunter yang menawarkan permit sementara manakala Jabatan Bangunan menjelaskan cara memohon tambahan struktur seperti sengkuap dan dinding sesekat.

“Pemohon lesen dalam program ini akan dikenakan harga lebih murah berbanding biasa.

“Selesai taklimat mereka boleh terus memohon kebenaran melalui kaunter,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Haris berkata program itu turut menampilkan wakil Jabatan Perancangan bagi menerangkan aspek kebenaran merancang manakala Jabatan Kesihatan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan.

Beliau menambah program bermula jam 8 pagi hingga 4 petang pada Sabtu manakala Ahad sehingga 12 tengah hari turut mendapat kerjasama Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.

PBT berkenaan menjalankan operasi sita dan roboh susulan serbuan terhadap premis judi haram dan peniaga warga asing, termasuk rokok seludup, di kawasan berkenaan.

Ia juga mengeluarkan 101 notis terhadap premis yang membina struktur tambahan tanpa izin PBT berkenaan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.


Pengarang :