AGENSISELANGOR

Mohamad Nizam Pengarah Eksekutif MSN yang baharu

SHAH ALAM, 17 OGOS: Mohamad Nizam Marjugi dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor yang baharu berkuat kuasa serta-merta.

Beliau menggantikan Adi Faizal Ahmad Tarmizi yang bertukar ke Kementerian Kewangan pada 5 Jun lalu.

Mohamad Nizam, 44, ketika dihubungi mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas kepercayaan dan peluang yang diberikan untuk menerajui badan sukan negeri.

“Saya berharap dapat meningkatkan tahap prestasi atlet dan kualiti prasarana sukan demi kemajuan pembangunan sukan di Selangor.

“Tanggungjawab ini akan terlaksana dengan kerjasama dan jalinan dalam kalangan semua penggiat sukan termasuk persatuan dan Kerajaan,” katanya yang mahu memberi fokus kepada persiapan atlet menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) di Johor tahun depan.

Mohamad Nizam memulakan tugas di MSN Selangor pada 1998 sebagai pegawai perhubungan atlet dan pernah menjawat pelbagai jawatan termasuk yang terakhir sebagai Timbalan Pengarah Pembangunan Sukan sejak 2012.

Sepanjang berkhidmat hampir 20 tahun beliau juga pernah dilantik sebagai pemangku pengarah eksekutif MSN Selangor sebanyak dua kali.

Sementara itu, MSN Selangor mengucapkan tahniah dan mengumumkan pelantikan Mohamad Nizam itu menerusi Facebook rasminya hari ini.


Pengarang :