Kelapa sawit merupakan antara komoditi utama negara (gambar hiasan). Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAEKONOMINASIONAL

Niaga hadapan minyak sawit mentah dalam jajaran kecil

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam jajaran kecil dengan kecenderungan menurun minggu depan dan menjangka eksport rendah.

Peniaga berkata minyak sawit terjejas oleh pergerakan harga minyak saingan berikutan ia bersaing untuk bahagian dalam pasaran minyak sayuran global.

“Semalam, pasaran turut diniagakan rendah sebagai tindak balas kepada kadar eksport yang lemah sejak beberapa minggu ini. Kami mengesan paras sokongan akan datang pada RM2,600 satu tan dan paras halangan pada RM2,750 satu tan,” kata peniaga minyak sawit David Ng kepada Bernama.

Sementara itu, Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM mengakhiri minggu ini dengan mencatatkan rendah berikutan eksport lemah, prestasi rendah di Bursa Komoditi Dalian dan prospek pengeluaran yang tidak menentu.

“Walaupun untuk tempoh 1-20 Ogos, Persatuan Pengilang-Pengilang Kelapa Sawit Semenanjung Selatan mengunjurkan pengeluaran tidak berubah berbanding 1-20 Julai, pasaran tidak akan mengurangkan penurunan.

“MSM mengakhiri minggu ini tidak berubah dari Isnin.

“Minggu depan, pasaran dijangka meningkat semula berikutan peningkatan pengeluaran yang perlahan,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, kontrak niaga hadapan MSM diniagakan tinggi kecuali pada Jumaat, mengambil petunjuk daripada harga minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago, Bursa Komoditi Dalian, pergerakan ringgit berbanding dolar US dan jangkaan angka eksport yang rendah.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, kontrak niaga hadapan MSM untuk September 2020 meningkat RM41 kepada RM2,798 satu tan, Oktober 2020 dan Disember 2020, masing-masing menambah RM35 kepada RM2,721 satu tan dan RM2,655 satu tan, manakala November 2020 naik RM34 kepada RM2,681 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 211,993 lot daripada 294,006 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 237,675 kontrak daripada 241,736 kontrak pada minggu lepas.

Di pasaran fizikal, September Selatan susut RM30 kepada RM2,810 satu tan.

-BERNAMA


Pengarang :