AGENDANASIONAL

Op Noda: 17 wanita asing tawar khidmat seks ditahan

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Seramai 17 wanita warga asing ditahan selepas disyaki menawarkan khidmat seks di tiga lokasi berasingan di sekitar ibu negara, hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata mereka yang berusia 17 hingga 38 tahun itu ditahan melalui Op Noda dan pemantauan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di tiga premis iaitu di Jalan Klang Lama, Jalan Mega Mendung dan Jalan Kuchai 13, bermula jam 5.50 petang semalam.

Beliau berkata turut ditahan empat lelaki warga tempatan dipercayai penjaga premis dan lima lelaki tempatan serta seorang lelaki warga asing yang merupakan pelanggan berusia 27 hingga 55 tahun.

“Seramai 17 wanita warga asing yang ditahan terdiri daripada lapan warga Vietnam, tujuh warga China dan dua rakyat Indonesia.

“Hasil siasatan mendapati premis-premis ini menjalankan aktiviti pelacuran melibatkan wanita warga asing yang menyasarkan pelanggan tempatan serta warga asing dengan bayaran sekitar RM180 untuk sekali langganan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata kesemua mereka itu didapati tinggal di premis tersebut yang turut menyediakan bilik tidur, dapur dan ruang mencuci pakaian.

Mohd Zani berkata ketiga-tiga premis itu juga didapati tidak mempunyai sebarang lesen perniagaan yang sah untuk beroperasi.

“Kesemua ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 372/372B Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c), Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39b Peraturan Imigresen 1963.

– BERNAMA


Pengarang :