EXCO Kerajaan Negeri, Mohd Khairuddin Othman (belakang, dua dari kanan) dan Ng Sze Han (belakang, tiga dari kanan) serta Dato’ Haris Kasim (belakang kanan) meninjau proses permohonan permit penjaja sementara dalam program penyusunan semula peniaga dan penjaja Bandar Baru Sungai Buloh di Dewan Meranti, Sungai Buloh pada 15 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAPBTSELANGOR

PBT lain diminta contohi MBSA buka kaunter permit niaga

SHAH ALAM, 15 OGOS: Beberapa peniaga dan penjaja kecil meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) lain mencontohi Majlis Bandararaya Shah Alam (MBSA) yang membuka kaunter permohonan permit perniagaan.

Peniaga air balang dan buah, Abdul Razak Sudin, 55, berkata pendekatan MBSA menangani isu peniaga tanpa lesen dapat mengelak timbul isu lambakan gerai di bahu jalan.

Abdul Razak Sudin

“Prosedur permohonan lesen penjaja perlu dipermudahkan tanpa membabitkan pelbagai bayaran yang membebankan peniaga.

“Saya sudah berniaga sejak tujuh tahun lalu dan pernah beberapa kali memohon permit tetapi ditolak kerana syarat terlampau rumit dan jika prosedur dipermudahkan sudah pasti ramai peniaga dapat permit perniagaan,” katanya.

Sementara itu, M Muniandy, 70, yang pernah meniaga cendol sebelum ini berkata beliau tidak meneruskan perniagaan kerana isu permit.

M Muniandy

“Apabila saya diberitahu MBSA buka kaunter permohonan permit perniagaan, saya terus datang dan berharap permohonan diluluskan,” katanya.

Manakala peniaga makanan Jepun, Zulliza Abdullah, 35, berkata beliau baru saja memulakan perniagaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

Zulliza Abdullah

“Saya berniaga sushi di Bandar Baru Sungai Buloh dan memang saya berniaga tanpa lesen. Faktor lokasi pejabat MBSA pun agak jauh di Shah Alam, jadi apabila MBSA buat program seperti ini, saya terus datang buat permohonan lesen berniaga,” katanya.

Bagi peniaga nasi ayam, Mohd Sabri Mohd Syed, 59, langkah MBSA menggunakan pendekatan berdiplomasi dalam mencari penyelesaian isu lesen peniaga kecil wajar dicontohi semua PBT.

Mohd Sabri Mohd Syed

“Setelah mendengar taklimat MBSA, barulah minda saya terbuka berhubung perkara ini. Sebenarnya MBSA telah cuba bantu peniaga sebaik mungkin dan kita sebagai peniaga perlu beri kerjasama sepenuhnya.

“Nasihat saya kepada peniaga jika telah dapat lesen, jangan pula sewakan kepada pihak ketiga dan manfaatkan permit yang diberikan,” katanya.

Pandangan sama diberikan Yusof Amin, 50, yang memuji langkah MBSA membuka peluang kepada peniaga kecil memohon permit perniagaan.

Yusof Amin

“Sepatutnya semua PBT perlu tampil turun padang mendekati golongan peniaga kecil seperti saya yang hanya berniaga kecil-kecilan sahaja seperti jual jambu dan keropok,” katanya.


Pengarang :