Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar bersama wakil Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang diketuai Setiausaha Agung Dr Johan Kamal Hamidon dalam pertemuan di Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 10 Ogos 2020. Foto: MBPJ
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Red Giants dibenar guna Stadium MBPJ musim hadapan

SHAH ALAM, 11 OGOS: Selangor mendapat kebenaran daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menggunakan stadium miliknya bagi saingan liga musim hadapan.

Setiausaha agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) memaklumkan persetujuan secara lisan dicapai hasil pertemuan selama sejam bersama Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar semalam.

“MBPJ setuju FAS menggunakan Stadium MBPJ untuk saingan liga secara verbal (lisan) untuk tahun hadapan. (Bagaimanapun) masih perlu hantar surat permohonan rasmi dan sebagainya yang kami akan usahakan dalam masa terdekat,” kata Dr Johan Kamal Hamidon ketika dihubungi.

Terdahulu FAS memaklumkan Red Giants kekal beraksi di Stadium UiTM di sini sehingga penghujung musim berikutan kerja baik pulih bumbung dan pendawaian elektrik di Stadium Shah Alam.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata kerosakan di Stadium Shah Alam sedang diteliti sebelum mengeluarkan perbelanjaan sepatutnya untuk proses naik taraf.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kos menggantikan bumbung polikarbonat serta pendawaian elektrik pada bumbung mencecah RM30 juta manakala kos keseluruhan RM250 juta.

Stadium berkapasiti 80,000 penonton itu dibuka secara rasmi pada Julai 1994 dan pernah menjadi gelanggang utama skuad Harimau Malaya hingga 1997.


Pengarang :