Grafik Media Selangor
AGENDAEKONOMINASIONAL

Sektor runcit pulih separuh kedua 2020, didorong penggunaan tempatan

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Sektor runcit dijangka pulih pada separuh kedua 2020 didorong oleh penggunaan tempatan, dengan jualan dijangka meningkat kepada 80 peratus daripada paras sebelum Covid-19 pada suku keempat daripada 70 peratus pada masa ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata terdapat tanda pemulihan berikutan ekonomi dibuka semula mencatatkan angka pengangguran yang lebih baik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan.

Menurut jabatan itu, kadar pengangguran Malaysia pada Jun 2020 merosot bulan ke bulan kepada 4.9 peratus daripada paras tertinggi sebanyak 5.3 peratus pada Mei 2020 berikutan lebih banyak sektor, termasuk industri perkhidmatan, dibuka semula untuk memulihkan ekonomi negara selain membendung pandemik Covid-19.

“Tertakluk kepada sekatan pergerakan kedua, sektor itu akan kembali normal, dengan penggunaan tempatan menjadi pemacu pertumbuhan kepada negara,” katanya kepada pemberita selepas sesi tertutup dengan peruncit di pusat beli-belah Sunway Pyramid semalam.

Mustapa berkata penting bagi rakyat Malaysia untuk menyokong produk tempatan berikutan industri pelancongan masih ditutup.

Beliau menjangka negara akan mencatatkan pemulihan ekonomi pada suku ketiga dan keempat, sejajar dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020 Bank Negara sebanyak -3.5 peratus hingga -5.5 peratus selepas penguncupan 17.1 peratus pada suku kedua tahun ini.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia H.C. Chan berkata pada Julai, sebanyak 90 hingga 95 peratus daripada perniagaan runcit menyambung semula operasi dengan pengunjung pusat beli-belah mencecah 80 peratus daripada paras sebelum Covid-19.

-BERNAMA


Pengarang :