AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sultan: Penguat kuasa terlibat rasuah jejas reputasi kerajaan

SHAH ALAM, 24 OGOS: Tindakan segelintir penguat kuasa yang terlibat dalam gejala rasuah mencemarkan reputasi dan imej kerajaan serta pihak berkuasa.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah rakyat hilang kepercayaan terhadap kemampuan penguat kuasa jika jenayah itu terus berleluasa.

“Laporan media yang meluas tentang kesalahan jenayah rasuah menggambarkan penolakan rakyat terhadap perbuatan yang boleh menjejaskan kelicinan pentadbiran kerajaan.

“Seandainya dibiarkan terus berleluasa, ia menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap kemampuan Jabatan Penguatkuasa dalam melaksanakan tindakan undang-undang,” titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini.

Sultan Selangor turut menyeru kakitangan penguat kuasa di semua pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan tidak terlibat dengan rasuah serta perkara yang menimbulkan tohmahan penyelewengan.

Baginda bertitah ini termasuk aspek penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri atau pihak tertentu yang perlu dielakkan semasa bertugas.

“Baginda juga menegaskan Islam melarang keras perbuatan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan mereka yang diamanahkan dengan jawatan. Gejala ini mengkhianati amanah negara dan masyarakat.

“Baginda juga menyeru semua pegawai dan kakitangan penguat kuasa menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan berhemah serta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP). Mereka perlu bersikap adil kepada semua pihak ketika tindakan penguatkuasaan dilakukan,” titah baginda lagi.


Pengarang :