Peniaga, V muniandi menunjukkan lesen sementara yang diterima pada majlis Penyerahan Lesen Penjaja Sementara Pasca Covid- 19 di Dewan Hamzah Majlis Perbandaran Klang pada 19 Ogos 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Warga emas lega MPK beri lesen sementara jual rojak

KLANG, 20 OGOS: Hasrat seorang warga emas untuk berniaga secara sah tercapai selepas menerima lesen penjaja sementara pasca Covid-19 dari Majlis Perbandaran Klang (MPK) semalam.

V Muniandi,75, berkata selama 15 tahun ini beliau menjual rojak tanpa lesen sah bagaimanapun pernah memohon lesen namun ditolak ekoran lokasi perniagaannya di Taman Sentosa tidak sesuai.

“Banyak kali saya disaman tapi tetap teruskan (perniagaan) sebab dah lama meniaga dan itu juga menjadi sumber pendapatan keluarga.

“Bila diberitahu saya layak terima lesen ini, perasaan sangat gembira. Sudah lama saya tunggu lesen sah. Lepas ini saya tak perlu risau jika anggota MPK buat pemeriksaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Lesen Penjaja Sementara Pasca Covid-19 Peringkat MPK semalam.

Seorang lagi peniaga, Rosli Mohd Sharif,33, gembira apabila tersenarai sebagai penerima lesen itu selepas empat tahun menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Menurut Rosli, sepanjang tempoh terbabit, gerainya pernah disita malah semua kelengkapan barangan niaga dirampas pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sepanjang berniaga saya tidak tenang. Risau sekiranya majlis datang. Sudah dua kali barangan gerai dirampas, disita tapi saya datang ke MPK tuntut barang sebab inilah sumber pendapatan saya.

“Bila dapat lesen hari ini (semalam), saya dah tak perlu risau. Mungkin ini juga pendorong untuk saya besarkan lagi perniagaan,” katanya.

Semalam, seramai 35 peniaga tidak berlesen sekitar Klang menjadi kumpulan pertama menerima lesen sementara sah sehingga 31 Disember ini.


Pengarang :