Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melakukan pelancaran Jentera Pilihanraya KEADILAN Negeri Sabah pada 5 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar: Calon PRN Sabah mesti berintegriti

KOTA KINABALU, 6 SEPT: Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata calon yang akan mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini tidak semestinya berasal dari Negeri Di Bawah Bayu.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata pemilihan calon KEADILAN yang akan mewakili parti berkenaan perlu berdasarkan integriti calon tersebut.

“Kalau pilih orang yang tiada komitmen, sama sahaja. Isunya bukan suku kaum mana, isunya bukan dari mana tetapi mampukah kita latih orang yang punya integriti,” katanya ketika berucap merasmikan Jentera Pilihan Raya KEADILAN Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sabah Datuk Christina Liew.

Anwar berkata beliau secara dasarnya bersetuju memberikan lebih banyak kebebasan untuk KEADILAN Sabah memilih calon.

Katanya, calon KEADILAN harus mempunyai komitmen untuk membela nasib rakyat tanpa mengira latar belakang kaum, bangsa atau agama.

-BERNAMA


Pengarang :