Selangorkini
AGENDA GLOBAL JENAYAH

AS mohon ekstradisi dua rakyat Malaysia disyaki penggodam siber

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) memohon dua rakyat Malaysia diekstradisi ke negara itu kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan jenayah komputer (siber) di AS.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata kedua-dua suspek berkenaan, seorang ahli perniagaan berusia 40-an dan juruanalisa komputer berusia 30-an kini direman di Penjara Sungai Buloh.

“Kedua-dua suspek ditahan di sekitar Perak pada 8.45 pagi 14 September lepas oleh sepasukan anggota polis Bahagian D12 National Central Bureau (NCB) /Interpol, Bahagian D14 Jenayah Terancang, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Komersial Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Menurut Huzir, kedua-dua suspek didapati menjalankan perniagaan penjualan artifak permainan seperti kit dan urusan kredit secara tidak sah di AS.

“Pihak berkuasa Amerika Syarikat telah menghantar permohonan ekstradisi pada 3 September lepas terhadap kedua-dua suspek dan Jabatan Peguam Negara telah bersetuju untuk melaksanakan permohonan itu,” katanya.

Huzir berkata permohonan ekstradisi berkenaan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Ekstradisi 1992 serta perjanjian ekstradisi antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan Amerika Syarikat.

Beliau berkata pada 11 September lepas, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah mengeluarkan waran pemberkasan sementara (provisional warrant of arrest) ke atas kedua-dua suspek.

“Permohonan reman dibenarkan oleh Mahkamah Majistret selama 60 hari di bawah Seksyen 16(1) Akta Ekstradisi 1992 serta Artikel 11(4) perjanjian ekstradisi antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Amerika Syarikat,” katanya.

Huzir berkata pihak forensik juga membuat rampasan terhadap bahan bukti dan dokumen berkaitan di syarikat milik mereka di Perak.

Kelmarin, agensi media asing melaporkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendakwa lima rakyat China dan dua rakyat Malaysia kerana disyaki menjalankan operasi menggodam global, mencuri identiti dan teknologi permainan video di AS dan luar negara.

-BERNAMA

 


Pengarang :