Presiden Cuepacs, Adnan Mat. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Belanjawan 2021: Terserah kerajaan tentukan bonus penjawat awam

KUCHING, 25 SEPT: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan menetapkan jumlah pemberian bonus kepada 1.62 juta penjawat awam dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November ini.

Presidennya, Adnan Mat berkata CUEPACS yang secara tradisinya menuntut pemberian bonus telah memberikan pandangan mereka kepada Kementerian Kewangan berhubung perkara berkenaan, semalam.

“Ini (berapa bulan gaji sebagai bonus dituntut) susah kami hendak sebut, asal sebut dapat RM500, kita sebut tiga bulan (gaji sebagai bonus) dapat RM500. Jadi, kali ini kita serah kepada kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan petugas barisan hadapan COVID-19 di sini.

Beliau berkata CUEPACS telah menyatakan keperluan pemberian bonus selepas penjawat awam menjalankan tugas mereka dengan baik di bawah pentadbiran kerajaan memerintah.

“Kami adalah tunjang kepada kerajaan yang menyampaikan setiap dasar diputuskan dan melaksanakan semua dasar-dasar ini, sebab itu negara kita ini tidak mempunyai apa-apa masalah besar dan rakyat masih boleh menjalankan aktiviti, bekalan makanan masih cukup dan tiada huru-hara,” katanya.

Dalam pada itu, Adnan berkata CUEPACS juga memohon kerajaan menetapkan gaji minimum baharu serta pengisian jawatan seperti pegawai dan penolong pegawai kesihatan persekitaran dibuat secepat mungkin.

“Gaji minimum yang baharu ini hendaklah diseragamkan menerusi hasil kajian Bank Negara iaitu RM2,700, kajian dari KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) RM2,480 dan CUEPACS sendiri telah membuat kajian minimum gaji iaitu RM2,620,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :