Tinjauan di sekitar ibu kota pada 9 Jun 2020 menunjukkan orang ramai mengenakan pelitup muka ketika negara berada pada fasa pemulihan akibat penularan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Benteng LD antara empat kluster catat tambahan kes

SHAH ALAM, 18 SEPT: Seramai 7,814 individu disaring dalam Kluster Benteng Lahad Datu (LD), Sabah setakat ini dengan pertambahan 76 kes positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan itu menjadikan kes positif kluster terbabit seramai 550 orang.

“Seramai 2,009 individu disaring di Lahad Datu dengan sembilan kes baharu dicatatkan, 5,804 disaring di Tawau (66 kes baharu) dan Sandakan (satu kes baharu),” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah seramai 345 individu disaring daripada kluster Pulau dengan pertambahan empat kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan 14 kes.

Bagi kluster Selamat, katanya, 137 individu disaring dan tiga kes baharu dicatatkan menjadikan keseluruhan positif sebanyak lima orang.

“Seramai 59 individu disaring dalam kluster Bunga di Negeri Sembilan dan satu kes baharu dilaporkan sekali gus menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 11 individu.”


Pengarang :