Kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melakukan kerja-kerja memadam mural dan potret lukisan pemimpin negara yang diconteng oleh pihak tidak bertanggungjawab di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 hari ini. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Conteng mural: Polis ambil keterangan tiga wanita

SHAH ALAM, 3 SEPT: Tiga wanita dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes menconteng mural yang memaparkan wajah pemimpin negara Julai lepas, namun mereka dibebaskan kemudiannya selepas didapati mempunyai alibi yang kukuh.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata ketiga-tiga wanita berumur antara 25 dan 35 tahun itu dibebaskan selepas didapati mempunyai alibi kukuh yang tidak membolehkan mereka disabitkan dengan jenayah itu.

“Mereka telah dipanggil tiga minggu lepas, kerana pada mulanya disyaki terlibat, namun selepas siasatan, didapati mereka tidak terlibat. Kami masih bekerjasama dengan Bukit Aman dalam aspek teknikal bagi mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kes itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Neighborhood Watch Programme di Seksyen U5, di sini.

Julai lepas, mural gergasi beberapa potret pemimpin negara pada dinding sebuah bangunan kedai di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 di sini, diconteng pihak tidak bertanggungjawab dengan perkataan kurang menyenangkan menggunakan cat merah.

– BERNAMA


Pengarang :