Pelajar memakai pelitup muka selepas pemerintah Indonesia membuka kembali sesi persekolahan dengan melaksanakan proses pembelajaran secara bersemuka di tengah kebimbangan penularan wabak Covid-19 di Bekasi, di pinggiran Jakarta, Indonesia pada 13 Julai 2020. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Covid-19: Indonesia catat 4,634 kes baharu, korban lepasi 10,000

JAKARTA, 24 SEPT: Indonesia mencatatkan 4,634 kes positif baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam, jumlah tertinggi sehingga kini sejak kes pertama dikesan di republik itu pada 2 Mac 2020.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman Twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia hari ini, jumlah keseluruhan kes positif kini meningkat kepada 262,022 manakala sebanyak 110,910 lagi pesakit masih dalam pemantauan virus berkenaan.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini itu juga, sebanyak 128 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian kumulatif kini 10,105 orang.

Provinsi Jakarta, yang kembali dikuatkuasakan peraturan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) selama dua minggu bermula 14 September lepas, masih mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi di republik itu iaitu 66,731 kes, dengan tambahan 1,044 kes baharu.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 3,062 orang, diikuti Jakarta (1,648), Jawa Tengah (1,359) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

-BERNAMA


Pengarang :