Anggota polis ketika pemeriksaan dalam sekatan jalan raya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Daerah Kota Setar bermula 11 hingga 25 September di Kota Sarang Semut, pada 23 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Kes meningkat, polis tingkat pematuhan SOP – KPN

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Polis mengetatkan penguatkuasaan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) susulan peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata pasukan pemantau diarahkan menahan atau memberi kompaun terhadap mereka yang melanggar SOP tanpa kompromi.

“Peningkatan kes Covid-19 di negara ini menimbulkan kebimbangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi arahan kepada saya untuk mengetatkan lagi kawalan pematuhan SOP PKPP,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Selain itu, Abdul Hamid berkata pasukan keselamatan termasuk anggota terlibat sekatan jalan raya Op Benteng diingatkan agar tidak leka atau cuai semasa melaksanakan tugas menghalang pendatang asing tanpa izin yang cuba memboloskan diri masuk ke negara ini.

Pada masa sama, semua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) terlibat juga dikerah menggandakan rondaan di kawasan sempadan dan perairan negara serta memperhebat sekatan jalan raya Op Benteng.

-BERNAMA

 


Pengarang :