Selangorkini
RENCANA WAWANCARA

Dari bawah pokok ke e-dapur, bangkit selepas rugi RM70,000

Oleh Nazli Ibrahim

Foto Fikri Yusof

TIADA pilihan. Kontrak setahun telahpun ditandatangani. Mahu tidak mahu Al Amin Mustapha harus terus berniaga di sebuah wisma di Bandar Sunway, Petaling Jaya sekalipun kadar untung tidak sampai pun separuh daripada kos bulanan.

Malah, kedai nasi kerabu yang dibuka sepanjang waktu pejabat seakan-akan beroperasi hanya dua jam – antara 12 tengah hari hingga 2 petang. Waktu lain lengang. Sedangkan beliau terpaksa membayar sewa bulanan RM6,000 dan melunaskan gaji pekerja.

Ternyata, sangkaan menyewa lot kafe untuk memajukan perniagaan meleset sama sekali. Sebaliknya, beliau terpaksa ‘pecah’ tabung simpanan. Selepas dicongak, beliau menghabiskan hampir RM70,000 demi kelangsungan perniagaan.

Kembali ke bawah pokok

Justeru, sebaik sahaja tempoh tamat, pengusaha berusia 43 tahun tidak berfikir panjang untuk menolak lanjutan kontrak, biarpun ditawar kadar lebih murah. Al-Amin tidak sabar-sabar mahu kembali ke tapak asal, lokasi beliau memulakan perniagaan pada 13 tahun lalu.

Di bawah pokok di depan Mentari Court, Bandar Sunway, perniagaannya kembali rancak. Dengan jolokan Warung Nasi Kerabu Bawah Pokok, beliau mampu menjual sehingga 200 bungkus nasi kerabu dan nasi ayam geprek sehari.

Namun, baru dua minggu berniaga, sekali lagi Al-Amin dihimpit masalah. Kalau operasi di kafe tidak memuaskan, kali ini beliau langsung tidak boleh berniaga, semuanya gara-gara penularan Covid-19. Dua bulan lamanya beliau ‘bercuti’.

Al Amin buntu. Wang simpanan hampir habis ketika menampung kerugian semasa berniaga di lot kafe. Tambah memeningkan, lagi sebulan Ramadan tiba sebelum Syawal menyingsing. Rancangan untuk berniaga di bazar Ramadan juga terasa kelam. Beliau betul-betul rasa terduduk.

Mujur tuah datang menggolek. Kurang dua minggu menjelang Ramadan, beliau ditawar menyertai program e-dapur, landasan perniagaan bazar dalam talian anjuran Kerajaan Negeri bagi membantu peniaga yang terjejas akibat wabak.

Al Amin yang terputus sumber pendapaaan tidak teragak-agak menerima tawaran itu. Biarpun tidak pasti bagaimana sambutannya, entah-entah mengulangi nasib malang sebelum ini, namun, beliau tiada pilihan. Lalu Al-Amin memulakan perniagaan di Dewan Sri Manja, Bandar Sunway dengan penuh debar.

Tempahan luar biasa

Melalui e-dapur yang diperkenal pada 8 April, beliau mampu menghabiskan lebih 50 ekor ayam untuk nasi kerabu dan nasi ayam geprek sehari. Selain juadah itu, Al Amin turut menjual 300 hingga 400 bekas kuih buah Melaka dan 200 bekas kuih akok dalam sehari.

“Tidak sangka sambutannya luar biasa hingga setiap hari saya tutup tempahan nasi kerabu dan nasi ayam geprek seawal jam 4.30 petang dan biasanya 5 petang sudah habis kerana terlalu banyak tempahan.

“Selepas rugi hampir setahun ditambah pula tak boleh berniaga semasa PKP, e-dapur membantu memulihkan semula perniagaan saya,” katanya kepada SelangorKini baru-baru ini.

Selepas tamat tempoh berniaga melalui e-dapur, Al Amin kembali berniaga di bawah pokok tetapi beliau menaruh harapan untuk meneruskan perniagaan dalam talian.

“Saya harap program seperti ini diteruskan kerana memberi pulangan sangat memuaskan kepada peniaga yang menyertai e-dapur,” katanya.

Harapan beliau termakbul berikutan pengumuman Kerajaan Negeri pada Julai lalu yang mahu meneruskan program e-dapur dengan menyasarkan 1,000 usahawan, malah inisiatif itu diperluaskan kepada sektor lain, antaranya barangan runcit, restoran, farmasi dan produk usahawan negeri ini.


Pengarang :