Selangorkini
EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail meraikan 70 peserta, Ketua Komuniti India dan syarikat peneraju program Usahawan Siswazah (Grow) di Dewan Jubli Perak pada 15 September 2020.
EXCO SELANGOR

EXCO: Bantu niaga, dapatkan khidmat nasihat di Klinik Usahawan Selangor

SHAH ALAM, 16 SEPT: Usahawan yang berdepan cabaran dan kesukaran menguruskan perniagaan boleh mendapatkan nasihat di Klinik Usahawan Selangor bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

EXCO pembangunan keusahawanan berkata agensi berkenaan turut diiktiraf Bank Negara dan usahawan perlu faham semua masalah perniagaan tidak semestinya membabitkan wang.

“Kadang-kadang kita rasa perlu duit, tetapi sebenarnya perasaan kita sahaja. Kita perlu berjumpa pakar untuk tanya apa yang sebenarnya perlu buat. Macam kita sakit, berjumpa doktor untuk dapatkan nasihat dan diberikan ubat,” kata Rodziah Ismail ketika Majlis Dialog Grow 2020 di Dewan Jubli Perak, malam tadi.

Beliau berkata menerusi nasihat yang diberikan usahawan juga boleh mendapatkan bimbingan dan latihan melalui agensi sesuai dengan keperluan mereka.

Selain itu, usahawan juga boleh mendapatkan modal bantuan bagi mengembangkan perniagaan menerusi pinjaman melalui Yayasan Hijrah Selangor.

“Yayasan Hijah Selangor boleh memberikan bantuan pinjaman sehingga RM50,000 dengan syarat ia perlu dibayar semula. Jika memberikan geran semata-mata, kita bimbang usahawan tidak akan bersungguh-sungguh memajukan semula perniagaan mereka,” katanya.

Rodziah berkata pihaknya turut berhasrat untuk mencari ikon usahawan India Selangor bagi merangsang golongan berkenaan menceburi bidang perniagaan di masa hadapan.


Pengarang :