Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd Datuk Hasan Azhari Idris.
AGENDAAGENSISELANGOR

Invest Selangor kenal pasti kawasan industri baharu

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Invest Selangor Bhd kini dalam proses menukar status beberapa kawasan di Selangor yang berpotensi dibangunkan sebagai kawasan perindustrian yang baharu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Hasan Azhari Idris, beberapa kawasan dikenal pasti di daerah Klang, Kuala Langat dan Sepang dengan kerjasama pemaju swasta.

“Justeru itu, ini adalah masa yang terbaik untuk melakukan perancangan bagi menerima potensi kemasukan pelaburan baharu apabila ekonomi kembali pulih setelah pandemik Covid-19 berakhir,” katanya semasa program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi.

Hasan Azhari berkata semua kawasan berkenaan dijangka mampu menampung permintaan industri berikutan kedudukan pintu masuk pelabuhan dan lapangan terbang yang strategik di negeri itu.

“Kita akan terus memposisikan Selangor sebagai destinasi perniagaan terulung di Malaysia dan tidak akan berhenti merencanakan peluang-peluang yang ada di sebalik cabaran Covid-19 ini,” ujar beliau.

Menyentuh mengenai kesiapsiagaan para usahawan Malaysia ke arah sektor e-dagang, Hasan Azhari berkata peningkatan yang ketara dapat dilihat dari segi penggunaan bagi keperluan survival setelah Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

“Sebagai contoh, negeri Selangor menyasarkan 5,000 usahawan menyertai program e-bazar pada bulan Ramadan yang lepas tetapi program itu berjaya menarik 8,400 usahawan dengan jualan mencecah lebih RM300 juta,” katanya.

Beliau turut berharap semua syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan untuk menerokai pasaran yang lebih luas melalui digitalisasi ekonomi.

-BERNAMA


Pengarang :