Benteng di Pantai Remis, Jeram yang terhakis teruk susulan fenomena air pasang besar pada 19 September 2020. Foto ihsan Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

JPS nilai pembaikan struktur benteng di Pantai Remis

SHAH ALAM, 19 SEPT: Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS) akan menilai struktur benteng di Pantai Remis yang terhakis teruk susulan fenomena air pasang besar pagi tadi.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata penilaian merangkumi kiraan kos serta jangka masa baik pulih yang akan dilakukan.

“Berikutan kejadian itu, sebanyak empat buah rumah di Kampung Sungai Janggut, Jeram yang terletak berdekatan pantai berkenaan dimasuki air kira-kira jam 7 pagi tadi.

“Setakat ini penduduk belum berpindah, namun pemantauan akan dibuat dari masa ke semasa,” katanya memaklumkan benteng berkenaan terhakis akibat ombak setinggi 5.7 meter.

Semalam, benteng di beberapa kawasan sekitar pantai Kuala Langat turut runtuh susulan ombak kuat dan kerja baik pulih giat dijalankan.

Pusat Hidografi Nasional menjangka paras air laut di sekitar Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam berada pada tahap maksimum iaitu 5.8 meter.

Fenomena air pasang besar dijangka berlaku antara jam 5 hingga 8 pagi pada 19 dan 20 September, 17 hingga 19 Oktober serta 15 dan 16 November.

Berikutan itu, penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan tidak melakukan aktiviti di pesisiran pantai bermula hari ini.


Pengarang :