Mohd Rosle Manhuri, 46 ditemui SelangorKini pada 7 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

KRT Golden Villa bantu agih air kepada penduduk

KLANG, 7 SEPT: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Golden Villa mengambil inisiatif membantu penduduk di pangsapuri itu mendapatkan bekalan air sepanjang tempoh gangguan.

Seorang daripada ahlinya, Mohd Rosle Manhuri, 46, berkata pihaknya memahami kekangan dihadapi Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) yang perlu mengedar air ke banyak kawasan yang turut mengalami nasib sama.

Datin Seri Masdiana Muhamad menyampaikan air minuman kepada penduduk Pangsapuri Golden Villa, Klang pada 7 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita faham situasi dihadapi Air Selangor yang ada kalanya menyebabkan bantuan lewat, jadi KRT di sini ambil inisiatif mencari sendiri sumber air dari luar untuk diagihkan kepada penduduk.

“Kami juga gunakan pengangkutan sendiri sama ada kereta atau lori untuk ambil air bawa ke tempat kami,” katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan air minuman dan makanan asas daripada isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Masdiana Muhamad di sini hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk, S Mogan Raj, 19, berkata mereka berterima kasih dengan keprihatinan Masdiana dan pihak yang tampil memberikan bantuan kepada penduduk.

“Setiap kali berlaku gangguan bekalan air pasti ada bantuan diberikan dan ini sememangnya meringankan beban kami,” katanya.

Gangguan bekalan air tidak berjadual di tujuh wilayah sejak 3 September lalu susulan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang.


Pengarang :