Timbalan Pengerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS), Datuk Dr Aziuddin Ahmad (empat, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop (tiga, kanan) bergambar bersama sebahagian syarikat korporat yang membayar zakat perniagaan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM3,459,876.35 pada Majlis Bayaran Zakat Perniagaan 2020 pada 30 Sept 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

LZS terima zakat perniagaan RM3.45 juta daripada 31 syarikat

SHAH ALAM, 30 SEPT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima zakat perniagaan daripada 31 syarikat korporat berjumlah RM3.45 juta.

Mendahului senarai ialah Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad yang menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM951,200 diikuti Advance Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd (RM497,300) dan Bank Muamalat Malaysia Berhad (RM330,264).

Zakat perniagaan daripada 31 syarikat korporat itu diterima oleh Timbalan Pengerusi LZS Datuk Dr Aziuddin Ahmad.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop berkata jumlah kutipan zakat tahun ini dilihat masih jauh daripada sasaran susulan situasi ekonomi semasa yang tidak menentu ekoran pandemik Covid-19.

Beliau berkata penularan pandemik itu turut menyebabkan jumlah asnaf meningkat daripada 68,000 kepada 72,000 keluarga yang kebanyakannya menyaksikan ketua keluarga diberhentikan kerja manakala syarikat pembayar juga tidak mampu mengeluarkan zakat yang banyak selepas pendapatan mereka berkurangan.

“Justeru menjelang akhir Disember ini, LZS terus berusaha keras untuk mengutip wang zakat terutama bagi zakat perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan 2020 di sini hari ini.

Saipolyazan berkata bagi tempoh Januari hingga Ogos lepas, sebanyak 9,963 syarikat melunaskan pembayaran zakat perniagaan mereka di LZS.

Pada majlis sama, LZS turut menyampaikan agihan zakat kepada dua asnaf iaitu Yuslina Yunus, 40, yang menerima bantuan perubatan rawatan dialisis berjumlah RM37,830 dan Khairul Affendi Karim, 33, sebagai bantuan pembinaan rumah sebanyak RM93,000.

Turut menerima agihan zakat ialah Nadi Intelek, sebuah organisasi yang menguruskan pendidikan bagi anak-anak autisme di Selangor, yang berupa bantuan geran secara sekali bayar berjumlah RM354,000.

Saipolyazan berkata agihan zakat yang disalurkan kepada organisasi itu adalah dalam bentuk bantuan pendidikan bagi tempoh dua fasa iaitu Januari hingga Jun dan Julai hingga Disember.

-BERNAMA


Pengarang :