Khairul Izwandy Abdul Jazam (kiri) bergambar di hadapan Restoran Temerloh Catering yang diusahakan sejak 1998
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Patin tempoyak laris di Jepun, bakal tembusi pasaran China

Foto Remy Arifin

Khairul Izwandy Abdul Jazam kerap melawat Jepun atas urusan pekerjaan tetapi kunjungannya kebelakangan ini membawa misi berbeza – mempromosi patin tempoyak.

Bukan lagi mempelajari teknologi baharu industri permotoran selaku pengurus kanan teknikal sebuah syarikat pengeluar kenderaan komersial, pekerjaannya sebelum ‘terpaksa’ menceburi bidang perniagaan.

Namun, semua itu berbaloi apabila ia membuahkan hasil. Dalam ekspo Malaysia Fair Tokyo di Jepun pada November lalu, semua 16 kotak memuatkan 24 tin patin tempoyak setiap satu habis terjual. Ia kemudian disusuli tempahan 10 kotak lagi.

Permintaan kian melonjak apabila sebuah rangkaian pasar mini terkenal yang memiliki jaringan hampir seluruh Jepun pula menempah sebanyak 700 kotak.

Langkahnya tidak terhenti di situ. Usaha menembusi pasaran China, Singapura dan Indonesia giat dijalankan melalui ekspo antarabangsa ketiga-tiga negara berkenaan. Namun, wabak Covid-19 melengahkan kejayaan itu.

Tukar kerjaya

Pemegang ijazah kejuruteraan mekanikal berusia 40 tahun sebenarnya tidak terlintas untuk menukar kerjaya, apatah lagi beliau selesa sepanjang 13 tahun berkhidmat di syarikat automotif di Kapar, Klang.

Namun ketika Khairul Izwandy berada di Jepun pada 2011, bapanya diserang sakit jantung. Ia berulang enam bulan kemudian dipercayai akibat tekanan menguruskan Restoran Temerloh Catering yang diusahakan sejak 1998.

Bimbang kesihatan bapanya bertambah buruk, beliau memutuskan untuk melepaskan jawatan tinggi yang disandang lalu mengambil alih pengurusan restoran.

Sejak itu, Khairul Izwandy menumpu perhatian untuk memajukan lagi perniagaan tersebut. Daripada hanya sebuah restoran, beliau meneroka pasaran Lembah Klang dengan membuka empat lagi cawangan.

Restoran berkenaan mendapat sambutan hangat berikutan keenakan patin masak tempoyak yang pekat kuahnya, tidak terlalu pedas dan faktor kesegaran ikan.

“Bagi Restoran Temerloh Catering, saya merancang membuka lebih 20 cawangan pada masa depan, terdekat hujung tahun ini di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur,” katanya.

Setiap bulan Khairul memerlukan lapan tan ikan patin yang dipelihara dalam sangkar bagi memenuhi permintaan pelanggan Lembah Klang.

Jual dalam talian

Selain itu, Khairul melebarkan lagi sayap perniagaan dengan menghasilkan produk segera melalui rangkaian pasar mini Halal Mart dan platform dalam talian termasuk Shopee dan Lazada.

Selain patin tempoyak dalam tin, produk segera lain adalah sambal hitam, sambal bilis jering semai dan sambal tempoyak ikan bilis petai.

Beliau turut menjual kuih tradisional dengan jenama Lelepat seperti lepat ubi, lepat pisang, lepat labu, tepung bungkus, pulut panggang dan karipap dalam talian. Jualan memberangsangkan iaitu antara RM60,000 hingga RM100,000 sebulan.

Khairul Izwandy menyifatkan kejayaan membawa jenama makanan tradisi ke pasaran Asia banyak dibantu EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail dan EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim, Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) Selangor dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor.

Mereka membantu usaha promosi produk dalam pelbagai pameran di luar negara, bimbingan keusahawanan seperti perakaunan, pembuatan produk dan pembungkusan secara percuma.

“Usahawan di Selangor beruntung kerana mempunyai Kerajaan Negeri yang sentiasa berusaha membantu usahawan yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan atau mahu mengembangkan pasaran,” katanya.

 


Pengarang :