Orang ramai mematuhi arahan menggunakan pelitup muka selepas kerajaan mewajibkan penggunaannya di tempat awam dan sesak bagi mengawal penularan Covid-19. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Elak gelombang kedua Covid-19, patuhi SOP – STFC

SHAH ALAM, 24 SEPT: Masyarakat diingatkan jangan alpa serta tidak membiarkan gelombang kedua Covid-19 berlaku di Malaysia, kata Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Justeru STFC meminta orang ramai patuh tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan dan saling berpesan mengenai kepentingan penjarakan fizikal, pelitup muka serta kerap basuh tangan.

“Jangkitan masih terkawal di Selangor. Hari ini, masuk hari kelapan sejak kali terakhir Selangor dicatatkan sebagai negeri zon hijau. Kes aktif juga mencecah 5.

“Tentukan mukim, rujuk info grafik untuk mengetahui status kes aktif Covid-19 di tempat anda,” katanya menerusi Facebook.

Selangor merekodkan dua kes baharu Covid-19 semalam membabitkan saringan ketika masuk kerja manakala kes kedua mempunyai sejarah perjalanan ke Semporna, Sabah.

Berikutan itu Klang menjadi daerah terbaharu berstatus zon kuning di Selangor selepas Hulu Langat, Petaling dan Sepang.

Secara keseluruhan kes baharu Covid-19 di Malaysia melonjak kepada tiga angka apabila 147 kes direkodkan dengan tiga kematian semalam.


Pengarang :