Tangkap layar video pelajar sebuah kelas dari Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Selayang, Gombak mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri pada 14 September 2020. Foto Facebook SMK Taman Selayang
AGENDANASIONAL

Pelajar ucap terima kasih, gembira terima pelitup muka percuma

SHAH ALAM, 15 SEPT: Kegembiraan jelas terpancar pada wajah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Selayang, Gombak apabila menerima pelitup muka boleh guna semula pemberian Kerajaan Negeri.

Perkara itu dikongsi menerusi Facebook rasmi sekolah tersebut yang memaparkan wajah pelajar lelaki memakai alat perlindungan yang tertera gambar bendera Selangor dan tulisan #KitaSelangor.

Turut dikongsi ialah video murid sebuah kelas mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Selangor.

Seorang pelajar lelaki memakai pelitup muka tertera gambar bendera Selangor dan tulisan #KitaSelangor. Foto Facebook SMK Taman Selayang

Pada 11 September, Dato’ Menteri Besar mengagih pelitup muka boleh guna semula secara percuma kepada 104 sekolah rendah dan menengah di daerah itu yang memberi manfaat kepada 120,000 pelajar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan tersebut diharap dapat mengurangkan beban ibu bapa yang terpaksa menyediakan alat itu kepada anak mereka setiap hari.

Pada 28 Ogos, Selangor mengumumkan bakal mengagih 1.3 juta pelitup muka boleh guna semula kepada 995,000 pelajar di negeri ini.

Majlis penyerahan alat itu kepada semua sekolah dijangka pada 25 September bertempat di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.


Pengarang :