Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama logo baharu selepas merasmikan pengisytiharan Majlis Perbandaran Kuala Langat di Dewan Seri Jugra, Banting pada 9 September 2020 selepas diperkenan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan Selangor perkenan Majlis Perbandaran Kuala Langat dimasyhur

BANTING, 9 SEPT: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) secara rasmi dimasyhur sebagai Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) bermula hari ini selepas diperkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Detik bersejarah itu berlangsung di Dewan Seri Jugra yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari diiringi Yang Dipertua MPKL, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim.

Amirul Azizan berkata usaha naik taraf status daerah kepada perbandaran dimulakan sejak 2007 dan pewartaan perakuan status baharu itu dibuat pada 1 Mac lalu.

“Pada 9 September 2020 sejarah tercipta, Kuala Langat terus menyinar.

“Sesungguhnya kejayaan MPKL mendapat perakuan untuk naik taraf sebagai sebuah majlis perbandaran adalah hasil kerja keras yang memakan tahun untuk direalisasikan bagi meyakinkan pihak Kerajaan Negeri dan seterusnya pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya pada Majlis Pengisytiharan MPKL.

Logo rasmi Majlis Perbandaran Kuala Langat dipamerkan dalam pengisytiharan Majlis Perbandaran Kuala Langat di Dewan Seri Jugra, Banting pada 9 September 2020 selepas diperkenankan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau menjelaskan dengan pengisytiharan itu, MPKL turut memperkenalkan slogan baharu iaitu ‘Indah, Harmoni dan Bestari’ selain menggunakan logo yang memaparkan menara Masjid Sultan Alaeddin, Jugra berteraskan warna merah dan kuning.

Tambahnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu komited untuk memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat dengan perkhidmatan yang bersifat segera, tepat dan berkualiti ke arah kesejahteraan rakyat.

“Tahun 2020 menjadi permulaan MPKL untuk melakar kecemerlangan sebagai dekad baharu pelaksanaan dan penyampaian perkhidmatan PBT yang akan memberi penumpuan dan fokus dalam memberikan perkhidmatan perbandaran yang terbaik.

“Kita juga akan merangka serta melaksanakan projek pembangunan yang berimpak tinggi termasuklah untuk kemudahan infrastruktur awam, memajukan kawasan pelancongan dan menjaga warisan sejarah serta alam semula jadi seiring sebagai pembangunan yang mampan dan lestari,” katanya.


Pengarang :