Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan pengisytiharan Majlis Perbandaran Kuala Langat di Dewan Seri Jugra, Banting pada 9 September 2020 selepas diperkenankan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB seru MPKL beri khidmat terbaik, tingkat kualiti

BANTING, 9 SEPT: Dato’ Menteri Besar berharap Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) terus memberi khidmat terbaik kepada masyarakat selepas dinaik taraf dari status majlis daerah yang berkuat kuasa hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sehubungan itu MPKL diminta bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan pembangunan yang dirancang mencapai matlamat meskipun berdepan cabaran besar.

“Dengan panarafan ini diharapkan MPKL akan meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam kalangan kakitangan dan pihak MPKL sendiri,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Pengisytiharan Majlis Perbandaran Kuala Langat di Dewan Seri Jugra hari ini.

Menurut Amirudin lagi, pihak berkuasa tempatan (PBT) merupakan cerminan corak pentadbiran Kerajaan Negeri dan tidak boleh bertindak sendirian selain mengamalkan komunikasi yang betul.

“Inilah bebanan yang terpaksa kita pikul sesuai dengan status atau taraf kita miliki. Semakin meningkat status, semakin tinggi harapan dan jangkaan daripada pihak luar.

“Rakyat juga mengharapkan komunikasi yang betul. Proses perubahan yang bakal dilakukan pasti akan menimbulkan keadaan kurang selesa tetapi ia perlu dijelaskan dengan kaedah yang betul,” katanya.

MPKL berstatus majlis perbandaran mulai hari ini selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj.

Susulan penafaran itu, MPKL turut memperkenalkan slogan baharu iaitu ‘Indah, Harmoni dan Bestari’ selain menggunakan logo yang memaparkan menara Masjid Sultan Alaeddin.


Pengarang :