Ketua Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor Mohammad Hafiz Usman pada sidang media selepas Operasi Fancy JPJ Selangor yang dijalankan di Plaza Tol Batu 9, Cheras pada 8 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Syarikat swasta manfaat tawaran JPJ, bayar saman tertunggak RM500,000

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Sebuah syarikat swasta yang membayar saman tertunggak kira-kira RM500,000 adalah antara pihak yang memanfaatkan tawaran pengurangan 70 peratus saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Selangor, Mohamad Hafiz Usman berkata syarikat pembersihan itu adalah antara yang menjadikan JPJ Selangor berjaya mengutip sebanyak RM1.604 juta saman tertunggak menerusi tawaran itu sehingga 31 Ogos lepas.

Beliau berkata syarikat berkenaan menggunakan peluang yang ada untuk menyelesaikan saman tertunggak mereka.

“Namun saya percaya ramai lagi yang akan menyelesaikan saman mereka terutama pada hujung bulan ini dan menjadikan JPJ Selangor antara yang menerima kutipan tertinggi di Malaysia,” katanya kepada pemberita ketika selepas Ops Fancy di Plaza Tol Batu 9, di sini, malam tadi.

Mohamad Hafiz berkata jumlah yang berjaya dikutip itu membabitkan 21,476 saman dan tawaran pengurangan itu akan diteruskan sehingga 30 September ini.

Beliau berkata tawaran itu boleh dimanfaatkan oleh penerima semua jenis saman JPJ kecuali saman yang melibatkan kes di mahkamah.

Sementara itu, Mohamad Hafiz berkata Ops Fancy pada malam tadi melibatkan 139 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk JPJ, polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar.

“Sebanyak 662 saman JPJ telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan kebanyakannya kerana tiada lesen memandu dan lesen memandu tamat tempoh,” katanya.

Beliau juga berkata dalam lapan operasi berskala besar yang dijalankan JPJ Selangor sepanjang bulan lepas, sebanyak 4,737 saman dikeluarkan.

– BERNAMA


Pengarang :